Tuesday, May 04, 2010

Kasi Murah Kalkulator Encik Tabur

Setelah lama menunggu, akhirnya lif terbuka. Mazrul (bukan nama sebenar) masuk. Seorang wanita lingkungan 30-an juga masuk ke lif bersamanya.

Mazrul menekan nombor 18. Manakala wanita tersebut menekan nombor 2, kemudian 4. Mazrul pelik. Tapi Mazrul cuba untuk biarkan. Maknya pernah berpesan, benda pelik jangan tegur.

Tiba di tingkat 2, pintu lif terbuka. Wanita tersebut tidak keluar. Pintu lif tertutup kembali.

Tiba di tingkat 4, pintu lif terbuka. Wanita tersebut masih tidak keluar. Mazrul sudah tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya. Pasti tidak nyenyak tidurnya malam ni jika Mazrul tidak tahu kenapa wanita tersebut berkelakuan sedemikian.

"Kak, rumah akak tingkat berapa ya?"

"Kenapa?"

Wanita tersebut jawab acuh tidak acuh sahaja. Dia ingat Mazrul ingin menghendap dia.

"Takdela, tadi tingkat 2, akak tak keluar. Tingkat 4 pun akak tak keluar."

"2? 4? Ye la. I duduk tingkat 24."

Wanita tersebut cuba membahasakan dirinya, "I". Mungkin ingin menampakkan dirinya lebih muda.

"Habis tu? Kenapa akak tak tekan 24 terus?"

"Eh? Tadi akak tekan apa?"

"2 dan 4."

"Ya Allah."

Wanita tersebut gelak kecil sendirian.

"Ni la akibatnya kerja 24 jam guna kalkulator."